PETALING JAYA – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, doktor pelatih (HO) yang selalu menjadi sasaran utama perbuatan buli di fasiliti kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, suasana persekitaran kerja yang kondusif perlu diwujudkan bagi mengatasi perkara itu.
“Sasaran utama selalunya HO… Housemanship. Saya tekankan sekali lagi sangat mustahak untuk kita mewujudkan ‘adjust working environment’ di fasiliti kesihatan.
“Mewujudkan suasana persekitaran kerja yang kondusif, penuh empati, adil dan menghormati satu sama lain. `Senior consultant’ turut menghormati ‘junior doctor’, pegawai perubatan (MO) dan juga HO,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini,
Beliau menjawab soalan tambahan V.Ganabatirau (PH-Klang) berhubung langkah Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengekang budaya membuli doktor pelatih dan jururawat oleh pihak atasan mereka.
Dzulkefly berkata, KKM mempunyai langkah khusus dalam mendepani isu tersebut seperti Talian HEAL 15555, garis panduan pengurusan buli di tempat kerja dan nota poket kesihatan mental di tempat kerja.
Menurut beliau, KKM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling serta platform digital MyMinda dan pasukan Sokongan Psikososial Semasa Krisis dan Bencana (MHPSS)
“Semua ini adalah penting, namun perkara pokok adalah untuk kita bertanggungjawab khasnya ketua jabatan, `senior consultant’, pakar dan sebagainya.
“Mewujudkan budaya kerja yang adil, saksama, penuh empati supaya kita lahirkan pasukan bekerja yang mantap, padu dan penuh belas ihsan,” katanya. – KOSMO! ONLINE