GEORGE TOWN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini selepas mengalami sesak nafas dipercayai tercekik gula-gula ‘eye balls gummy’ yang dibeli di luar kawasan sekolah semalam.
Mangsa yang bersekolah di Butterworth dipercayai membeli dua biji ‘gummy’ di sebuah gerai sebelum sesi Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) petang semalam.
Difahamkan, ketika kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa yang tercekik ‘gummy’ mengalami kesukaran bernafas. Kanak-kanak itu bagaimanapun sempat berjalan ke arah guru sebelum rebah secara tiba-tiba.
Menurut ibu saudaranya, Siti Farhani Muhammad Fikri, 33, rakan-rakan mangsa memaklumkan kepada ustazah KAFA yang bertugas bahawa kanak-kanak itu sukar bernafas.
“Ustazah cuba membantu memberi rawatan awal termasuk menepuk belakangnya sebelum menghubungi ambulans.
“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi melakukan ‘Cardio-Respiratory Resuscitation’ (CPR) dan berjaya mengeluarkan gummy yang tersangkut pada tekak anak saudara saya,” katanya hari ini.
Bagaimanapun, cerita Siti Farhani, keadaan mangsa menjadi kritikal dengan wajah kanak-kanak itu bertukar kebiru-biruan disebabkan kekurangan oksigen.
Jelasnya, doktor memaklumkan otak anak saudaranya mengalami kesan akibat kekurangan oksigen berpanjangan.
“Kami dimaklumkan doktor akan memantau sehingga Jumaat ini sebelum sebarang keputusan dibuat. Kami hanya mampu berdoa untuk keajaiban,” katanya. – KOSMO! ONLINE