PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi tiba di Manama, Bahrain sekitar pukul 12.45 tengah malam tadi pada waktu tempatan bagi memulakan lawatan rasmi ke negara itu.
Anwar berkata, lawatan itu akan bermula dengan rencana penting antaranya pertemuan bersama Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain iaitu Putera Mahkota Salman Hamad Al Khalifa.
“Saya juga dijadual menyampaikan ucapan dalam sesi utama Intra-Islamic Dialogue Conference (IIDC) yang dianjurkan di bawah naungan Raja Bahrain dan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif merangkap Pengerusi Majlis Hukama Muslimin.
“Beberapa lagi rencana turut disusun termasuk pertemuan bersama rakyat Malaysia di Bahrain. Doakan segala urusan dipermudahkan,” katanya hari ini.
Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi ke Bahrain bermula semalam hingga esok atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Putera Mahkota Salman Hamad Al Khalifa.
Menurut Kementerian Luar Negeri, lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke negara itu, sekali gus mempamerkan komitmen Malaysia mengukuhkan lagi hubungan dua hala.
Semasa lawatan ini, katanya, Perdana Menteri akan disambut dalam majlis sambutan rasmi dan diikuti dengan kunjungan menghadap ke atas Putera Mahkota selain kedua-dua pemimpin akan membincangkan perkembangan dan kemajuan hubungan Malaysia-Bahrain.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Anwar juga akan memanfaatkan lawatan ini untuk memperkukuhkan kerjasama serantau, terutamanya menjelang Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 yang dijadualkan di Kuala Lumpur.
Pada tahun 2024, Bahrain merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan jumlah dagangan bernilai RM1.19 bilion (AS$0.26 bilion).
Malaysia ialah rakan dagang ketiga terbesar Bahrain di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan ke-18 terbesar di peringkat global pada tahun 2023. – KOSMO! ONLINE