LUMUT – Pengusaha bot nelayan laut dalam di Pantai Remis dan Bagan Panchor dekat sini menyuarakan kebimbangan berikutan ancaman lanun dari negara jiran yang semakin meningkat kebelakangan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis, Wong May Ing berkata, sekurang-kurangnya lima kes diadukan kepadanya sejak Disember lalu sehingga mengakibatkan kerugian ratusan ribu ringgit.
Katanya, modus operandi lanun tersebut ialah menggunakan bot kecil laju dinaiki kira-kira empat hingga lapan orang dengan seorang menggunakan senjata api manakala yang lain bersenjata parang.
“Ada kes yang melibatkan penculikan (dan meminta wang tebusan), ada bot nelayan serta peralatannya yang bernilai ratusan ribu ringgit dirosakkan,” katanya pada sidang media di Pantai Remis, hari ini.
Katanya, pihak berkuasa perlu memandang serius masalah itu kerana Perak mempunyai nelayan laut dalam terbesar di Semenanjung Malaysia, dan ia boleh menjejaskan hasil tangkapan ikan negara.
Ketika ini, katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Perak tidak mempunyai peningkatan aset untuk menangani ancaman itu dan hanya enam kapal peronda yang mampu beroperasi di luar lingkungan 40 batu nautika, menyebabkan pasukan keselamatan sukar untuk memberikan bantuan segera setiap kali insiden berlaku. – KOSMO! ONLINE