KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen dipertontonkan klip video berkaitan jenayah-jenayah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)
Klip berdurasi kira-kira 30 saat itu dipertontonkan kepada mereka bagi menekankan tentang kepentingan undang-undang SOSMA dilaksanakan di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Siafuddin Nasution Ismail berkata, video berkenaan kesan daripada jenayah yang memerlukan polis untuk menguatkuasakan peruntukan di bawah akta tersebut.
“Gambar statiknya lebih kejam, dikapak, diparang di kepala dan lengan, perut terburai, otak bersepai dan macam-macam lagi.
“Itu semua kita akan paparkan kepada Ahli Parlimen bagi memahami persekptif bahawa dalam banyak undang-undang yang ada, ada satu sudut pandangan pasukan penguatkuasa di mana mereka merasakan ada keperluan untuk peruntukan ini diguna pakai,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudiannya berkata, klip video itu ditayangkan hanya untuk Ahli Parlimen sahaja dan tidak boleh ditayangkan di luar Dewan Rakyat.
“Saya tidak dibenarkan video ini disebarkan diluar. Hanya untuk tontonan Ahli Parlimen sahaja,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, tiada mana-mana negara dalam dunia tidak memiliki undang-undang seperti SOSMA.
Menurut beliau, undang-undang yang keras dan teras diperlukan kerana tiada mana-mana negara dalam dunia terkecuali daripada ancaman pengganas.
Beliau namun bersetuju undang-undang berkaitan SOSMA perlu jelas supaya tidak disalah guna untuk isu lain seperti yang berlaku terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan. – KOSMO! ONLINE