INGINKAN cabaran dan mencipta kelainan. Itu yang menjadi sasaran aktres serba boleh, Sharifah Sakinah ketika ini.
Menurut pemilik nama penuh Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 36, itu, sasaran tersebut mahu dicapainya kerana enggan lagi berada dalam zon selesa.
Mesra disapa sebagai Sakinah, dia kini lebih selektif dalam menerima sebarang tawaran lakonan terutama melibatkan pengarah dan watak.
“Buat masa sekarang, semakin berat sesebuah watak, lagi saya suka sebab mencabar tapi tetap perlu bimbingan daripada pengarah.
“Sebab itu saya akan memilih pengarah dan situasi serta cara watak itu dilontarkan akan lebih terkawal.
“Saya juga tak mahu berada dalam zon selesa dan akan terus pilih karakter berbeza,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Astrid
Mula membuka cerita tentang watak Astrid dalam drama Curang Tanpa Niat yang masih menjadi bualan, Sakinah memberitahu ramai yang terkejut dengan kemampuannya menjayakan karakter tersebut.
Katanya, reaksi sebegitu wujud mungkin disebabkan dia sudah terlalu lama terlibat dalam naskhah genre komedi.
“Ramai juga terkejut saya mampu jayakan watak Astrid.
“Mungkin sebab sudah terlalu lama saya dengan watak komedi, jadi Astrid ini buka mata banyak pihak walhal saya pernah lakonkan karakter yang berat.
“Ini ibarat comeback saya untuk watak berat,” tuturnya.
Mengulas mengenai penampilan watak Astrid berambut kerinting yang turut tular dalam media sosial, dia memberitahu perkara tersebut merupakan salah satu usaha untuk menghidupkan karakter berkenaan.
“Kalau boleh saya tak mahu wujud imej Sakinah dalam Astrid bahkan saya sendiri tidak pernah mewarnakan rambut.
“Saya warna dan kerintingkan rambut serta tambah sedikit rambut palsu.
“Untuk watak ini, saya juga jadikan kakak saya iaitu Sharifah Norhaslinda dan ramai juga cakap lakonan saya seperti dia. Meski ada yang cakap sama, tapi saya tetap nak buktikan diri versatil,” ujarnya.

Batas, selesa
Bercerita lanjut mengenai kerjaya lakonan, Sakinah mengakui dirinya individu yang menjaga batas dengan hero gandingan, terutama dengan lelaki berstatus suami orang.
“Orang selalu nampak perangai saya gila-gila tapi hakikatnya saya sangat menjaga batas dalam lakonan.
“Kalau berlakon dengan suami orang, saya akan minta izin dengan isterinya terlebih dahulu. Barulah selesa untuk bekerjasama,” katanya yang bakal muncul dengan drama berjudul Wok lakonan bersama Azhan Rani terbitan Unifi TV.
Ujarnya, gandingan yang bagus mampu memberikan nyawa watak dimainkan selain enggan terlibat dengan sebarang cinta lokasi.
“Saya bukan jenis pelakon yang akan terjebak dengan cinta lokasi. Itu bukan dunia saya. Kena berbalik pada niat asal iaitu nak berlakon, bukannya mahu kejar cinta.
“Pelakon adalah penglipur lara, nak menyampaikan cerita kepada masyarakat. Saya pula jenis akan kosongkan diri dan serahkan jiwa untuk watak yang ditugaskan sahaja,” ujar ibu kepada seorang anak perempuan itu.
Berbicara perihal peribadi sama ada hatinya masih terbuka untuk kembali mendirikan rumah tangga, dia selesa dengan kehidupan dan status sekarang.
“Saya bukan jenis ikut pendapat masyarakat dan kekal dengan prinsip. Ada orang memang tak dilahirkan untuk menjadi seorang isteri atau ibu.
“Jadi, saya okey dengan begini sahaja. Macam kalau saya jadi isteri, saya tak boleh bawa sesetengah watak, akan jadi tidak selesa walaupun suami memahami.
“Semuanya akan ada sekatan. Keluarga pun sangat menyokong kerjaya saya sebab kami semua berdarah seni,” jelasnya yang enggan berkongsi terlalu banyak hal peribadi kepada umum.

Wok
Memegang watak Wok dalam drama arahan Eyra Rahman, Sakinah berkata drama tersebut sangat menguji kemampuannya.
Bergandingan pula dengan Azhan diibaratkan satu bonus kerana mampu memberi jiwa dan emosi yang setara.
“Drama ini bagus gila. Kalau dia tak ‘memberi’, saya tak akan dapat jiwa itu ditambah pula jalan cerita Wok sangat berat. Sangat senang bekerja dengan Azhan, kami berdua solo, jadi kalau ada babak bersentuhan pun tak jadi isu.
“Kami juga banyak babak seperti sensual tetapi dua-dua profesional dan selesa. Kalau dengan suami orang pasti saya akan kekok dan kaku,” tuturnya.