EDINBURGH – Enam buah kereta yang diparkir di tepi sebatang jalan di Glasgow, Scotland dipercayai dibakar sehingga mencetuskan apa yang kelihatan seperti bom api, lapor laman berita The Scottish Sun semalam.
Kejadian itu menyebabkan api berwarna oren terang menyelubungi keenam-enam kenderaan tersebut dengan asap tebal menjulang ke udara.
Dua jentera bomba dikerahkan ke tempat kejadian dan tiada mangsa yang cedera dalam kebakaran itu.
“Kami menerima laporan bahawa enam buah kereta terbakar di Jalan Kelso, Glasgow, sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan).
“Api telah dipadamkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Scotland dan tiada laporan mengenai kecederaan.
“Siasatan (punca kebakaran) sedang dijalankan,” kata jurucakap polis. – AGENSI