KHARTOUM – Seramai 433 orang dibunuh dalam serangan kejam selama tiga hari yang dilancarkan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di negeri Nil Putih, Sudan, lapor laman berita Middle East Eye.
Menurut Kementerian Luar Sudan, bayi ialah antara yang terbunuh dalam apa yang disifatkannya sebagai kekejaman paling teruk yang dilakukan oleh RSF sejak pembunuhan beramai-ramai di Geneina dan Ardamita pada Ogos dan November 2023.
“Pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan ini mengesahkan bahawa perang militia sebenarnya menentang seluruh rakyat Sudan,” tambah kementerian itu.
Sebuah kumpulan dikenali sebagai Peguam Kecemasan yang memantau perang di Sudan berkata, RSF menyerang orang awam yang tidak bersenjata termasuk wanita dan kanak-kanak di al-Kadaris dan al-Khalwat. Ia merupakan perkampungan di luar bandar el-Getein.
Tambahnya, kumpulan separa tentera itu melaksanakan hukuman mati secara terbuka, melakukan penculikan, pemindahan penduduk secara paksa dan rompakan harta benda.
“Orang ramai yang melarikan diri dengan menyeberangi Sungai Nil juga terkena peluru hidup sehingga menyebabkan mereka lemas dalam jenayah pembunuhan beramai-ramai yang disengajakan,” kata kumpulan peguam tersebut.
Kumpulan pemantau itu menambah bahawa RSF bertanggungjawab penuh dalam serangan tersebut, yang merupakan jenayah perang dan menentang kemanusiaan di bawah undang-undang antarabangsa.
Tentera Sudan yang diketuai oleh pemerintah de-facto, Abdel Fattah al-Burhan telah berperang dengan RSF sejak April 2023.
Konflik itu telah menyebabkan lebih 10 juta orang kehilangan tempat tinggal dan menyebabkan lebih 12 juta lagi menghadapi kekurangan bekalan makanan yang teruk. – AGENSI