SUNGAI PETANI – Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) merampas 111 unit mesin perlombongan bitcoin serta sejumlah barangan lain dianggarkan bernilai RM890,950 di empat premis di sini pada kelmarin.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, Cawangan Risik Batalion 2 PGA dan Pasukan Special Engagement Against Losses (SEAL) TNB Zon Utara melakukan operasi penguatkuasaan itu selama lima jam bermula pukul 5 petang.
Katanya, empat premis itu yang dipercayai menjalankan aktiviti melombong bitcoin disyaki melakukan penyambungan bekalan elektrik secara haram.
“Kita bertindak merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk tujuan itu di empat lokasi berasingan iaitu 111 unit mesin perlombongan bitcoin, lima unit router, dua unit modem dan seunit komputer riba dengan nilai rampasan kira-kira RM890,950,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Sementara bagi Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990, hukuman adalah denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE