LUMUT – Seramai 13 orang nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak dengan 10 daripadanya merupakan warga Indonesia ekoran melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan di sini sekitar pukul 3.11 petang kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kesemua mereka yang menaiki vesel pukat jerut bilis didapati melakukan aktiviti tersebut di kedudukan kira-kira 0.5 kilometer (km) barat Telok Belanga di sini.
Beliau berkata, penahanan tersebut dibuat oleh sebuah bot ronda APMM yang sedang melakukan rondaan rutin di sekitar sektor operasi berkenaan bagi mencegah perlakuan jenayah maritim di perairan negeri ini.
“Tangkapan berkenaan dibuat dengan membabitkan seorang tekong warga tempatan dan 12 orang kru membabitkan dua warga tempatan dan sepuluh orang warganegara Indonesia berumur dalam lingkungan 24 hingga 69 tahun.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu beroperasi kurang dari 1.8km dari pantai atau daratan,” katanya di sini hari ini.
Mohamad Shukri berkata, kesemua nelayan ditahan, manakala bot dan hasil tangkapan ikan bilis dengan anggaran 30 kilogram serta peralatan menangkap ikan dirampas.
Katanya, kesemuanya diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.
“Berikutan tangkapan tersebut, APMM mengarahkan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil,” katanya. – KOSMO! ONLINE