fbpx

Yayasan Bank Rakyat, UKKM meterai MoU tajaan biasiswa RM4.08 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ewon (empat kanan) menyaksikan Syaiful Rizal (tiga kiri) menukar dokumen bersama Dr. Azali (tiga kanan) pada majlis menandatangnai MoU antara YBR dan UKKM di Menara Kembar Bank Rakyat hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penajaan biasiswa kepada pelajar UKKM dengan peruntukan berjumlah RM4.08 juta untuk tempoh tiga tahun.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Menara Kembar Bank Rakyat itu menyaksikan kerjasama antara kedua-dua pihak bagi tempoh 2025 hingga 2027, dengan seramai 35 pelajar UKKM akan menerima tajaan biasiswa setiap tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Naib Canselor UKKM, Profesor Datuk Dr. Azali Mohamed menandatangani MoU tersebut, disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict serta Pengerusi UKKM, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kuskop, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Rusli Jaafar.

Kerjasama ini bertujuan membuka peluang kepada pelajar yang berminat dalam bidang keusahawanan dan pengurusan koperasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di UKKM.

Ewon dalam ucapannya berkata, inisiatif tersebut menjadi motivasi kepada pelajar untuk memartabatkan bidang koperasi dan keusahawanan sebagai agen perubahan.

“Semoga usaha ini menjadi komponen penting dalam memacu negara ke arah status negara maju dan makmur,” katanya hari ini.

Sementara itu, Philip menegaskan bahawa kerjasama ini sejajar dengan misi YBR dalam menyediakan akses pendidikan kepada pelajar berpotensi, terutama daripada golongan kurang berkemampuan.

“YBR akan terus menyokong ekosistem koperasi dan keusahawanan yang holistik serta inklusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi negara,” ujarnya.

Sejak 2008 hingga tahun lepas, seramai 7,468 pelajar telah menerima Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM212.43 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI