KAJANG – Polis mengesahkan menerima satu laporan berkaitan batu ukiran wajah Mao Zedong yang merupakan Pengerusi Parti Komunis China bersama puisi berideologi komunisme di sebuah memorial di Semenyih, di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan dibuat wanita tempatan berusia 40 tahun pada pukul 4.16 petang kelmarin.
“Setakat ini, kita sudah merakam tiga keterangan saksi bagi membantu siasatan.
“Siasatan sedang dijalankan ke atas aduan itu secara menyeluruh termasuk satu video viral berdurasi dua minit 12 saat di TikTok yang membahaskan mengenai isu tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, seorang wanita mendedahkan batu ukiran wajah Mao Zedong dan puisinya dikesan di kawasan Semenyih.
Menurutnya, rakyat China dipaksa untuk menghafal puisi tersebut dan ia dipercayai sebagai taktik komunis untuk mencetuskan konflik.
“Saya percaya pihak polis akan melakukan apa yang patut bagi mengekang kefahaman komunis daripada memecahbelahkan rakyat Malaysia.
“Diharapkan rakyat Malaysia dapat menyokong saya dan rakan Pertubuhan Tuidang Malaysia,” ujarnya dalam rakaman video tular. – KOSMO! ONLINE
@rafizahcianlin2♬ original sound – Rafizah Cian Lin