PETALING JAYA – Seorang pelanggan kecewa apabila memperoleh dua timun dipotong daripada bahagian hujung sayur tersebut pada nasi lemak yang dibeli dari sebuah premis di sebuah pekan di Negeri Sembilan.
Menerusi video TikTok anacayang82, dia menunjukkan menu nasi lemak tersebut serta bercerita kekecewaanya menggunakan loghat Negeri Sembilan sambil berjenaka dan ketawa.
“Akak bukan taknak support orang kito meniago (berniaga) tau, tapi kok nak meniago tu elok-elok lah sikit. Ini bolom (belum) sampai lagi bulan poso (puasa) tau. Bulan poso esok, akak tak tahu lah macam mano.
“Akak ni lapar, bungkuih (bungkus) lah makanan. Bungkuih nasi lomak (lemak) ni. Tak do ikan beli, tak do kacang tak kisah, akak tak kisah, akak tak marah. Tapi agak-agak lah, bilo akak dapek (dapat) macam ni ha.
“Ekau (engkau) tengok lah, ini apo kau beri kat eden (aku) ni wei. Astaghfirullah hal azim, memang timun kalau habis, memang bagi kat customer yang ni ko? Ini boleh mendatangkan kemarahan den ni,” katanya menerusi hantaran itu.
Dia turut menasihatkan peniaga tersebut supaya berniaga dengan sebaik-baiknya.
“Ala carut karang, ini depan rezeki, elok elok lah sikit kalau nak meniago,” katanya.
Memandangkan wanita itu berkongsi cerita sambil ketawa, orang ramai turut meninggalkan komen secara berlawak santai pada video berkenaan.
“Kak, dia nak akak teka yang mana pangkal, yang mana hujungnya,” kata seorang pengguna TikTok.
“Akak ni nak marah ke atau nak bagi kami gelak,” komen seorang individu.
“Selalu buang hujung tu. Tak tahu pula di situ ia berfungsi,” kata seorang lagi pengguna TikTok. – KOSMO! ONLINE
@anacayang82TIMUN PENDEK🤣🤣🤣