KLUANG – “Pulangkan anak saya, dia masih remaja dan perlu belajar demi masa hadapannya.”
Demikian rayu Norita Kasmin, 47, supaya anaknya, Nur Fakhira Dania Zahir, 14, dipulangkan ke pangkuan keluarga yang dilaporkan keluar rumah sejak 12 Februari lalu.
Ujarnya, anak kelima enam beradik itu merupakan seorang pelajar yang cemerlang di sekolahnya dan percaya kehilangannya ini dipengaruhi oleh seseorang.
Katanya, selama ini Nur Fakhira tidak pernah melawan cakap orang tua selain mematuhi arahan termasuk untuk tidak memiliki telefon bimbit ketika masih bersekolah.
“Kepada orang yang membawa anak saya itu, sila pulangkan dengan baik, dia perlu meneruskan pembelajarannya sehingga tamat tingkatan lima.
“Jika tidak mahu menghantar secara terang-terangan, buatlah seperti ketika kamu mengambilnya tempoh hari, jangan rosakkan masa hadapannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Norita lagi, selepas kehilangannya pada 12 Februari lalu, mereka sekeluarga tidak senang duduk malah setiap masa terluang digunakan untuk mencari satu-satunya anak perempuan dalam keluarga itu.
Sebelum itu, Kosmo! melaporkan Nur Fakhira Dania tidak pulang ke rumah selepas keluar dengan menaiki sebuah kereta Perodua MyVi berwarna hitam kira-kira pukul 10 malam 12 Februari lalu.-KOSMO! ONLINE