GEORGE TOWN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dia dikatakan terjatuh dari Kilometer 5.5 Jambatan Pulau Pinang di sini semalam masih diteruskan sehingga ke hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu, lelaki tempatan berusia 48 tahun dan berasal dari Bayan Lepas dilaporkan telah meninggalkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 bersama dokumen pengenalan diri berdekatan tembok jambatan terbabit.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima aduan kecemasan daripada orang awam pada pukul 2.50 pagi semalam.
“Operasi mencari dan menyelamat telah dilancarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama agensi-agensi penyelamat lain.
“Setakat ini, operasi SAR sedang giat dijalankan di sekitar kawasan perairan berhampiran Jambatan Pulau Pinang,” katanya di sini sebentar tadi.
Sementara itu, jurucakap JBPM memberitahu, kawasan pencarian telah dibahagikan kepada beberapa sektor di sekitar lokasi berhampiran Jambatan Pulau Pinang dengan menggunakan kaedah ‘Water Surface Searching’,” jelasnya.
Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemurungan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999. -KOSMO! ONLINE