PUTRAJAYA- Kerajaan menegaskan tiada arahan dikeluarkan bagi penamatan kontrak secara besar-besaran terhadap pegawai yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, sebaliknya, pengurusan kontrak pegawai lantikan Contract of Service (CoS) adalah berdasarkan keperluan semasa perkhidmatan serta persetujuan kedua-dua pihak.
Katanya, JPA setakat 13 Februari lalu telah menerima sebanyak 108 permohonan daripada pelbagai agensi untuk kelonggaran syarat skim perkhidmatan bagi melantik semula pegawai kontrak yang tidak memiliki SPM susulan daripada pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Daripada jumlah ini, 83 permohonan diluluskan, manakala 25 permohonan tidak dapat dipertimbangkan kerana pegawai masih dalam tempoh kontrak atau lantikan sebelum ini yang didapati tidak teratur.
“Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu ini secara inklusif dan bertimbang rasa,” katanya hari ini.
JPA turut menegaskan, kenyataan akhbar Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bertarikh 12 Februari lalu mengenai kebimbangan penamatan kontrak 30,000 kakitangan yang tidak memiliki SPM adalah tidak tepat.
Ini kerana berdasarkan rekod JPA, kelulusan CoS di bawah peruntukan OS29000 untuk tahun 2024 bagi kakitangan yang tidak memiliki SPM hanyalah sebanyak 2,037 orang.
“Pelaksanaan SSPA telah menetapkan bahawa 14 Skim Perkhidmatan yang sebelum ini menerima kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dinaik taraf kepada kelayakan masuk SPM.
“Namun, ini tidak bermakna pegawai awam yang sedang berkhidmat dengan kelayakan PMR atau PT3 perlu ditamatkan kontrak,” jelasnya.
Kata JPA, dengan pemansuhan PMR dan PT3, SPM kini menjadi taraf pendidikan terendah yang melayakkan seseorang untuk memasuki perkhidmatan awam.
“Seiring dengan perubahan itu, JPA harus bergerak selari bagi memastikan proses pengambilan dan pembangunan kerjaya dalam sektor awam terus relevan dan tidak ketinggalan,” katanya.
Berdasarkan data Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sehingga 31 Disember 2024, seramai 302,284 individu telah memohon jawatan Pembantu Khidmat Am dan daripada jumlah ini, 186,010 calon memiliki kelayakan SPM.
Oleh itu, dalam mempertimbangkan pelantikan baharu, kerajaan perlu memastikan keseimbangan antara memenuhi syarat kelayakan perkhidmatan dan memberi peluang kepada calon yang layak.
“Pelantikan secara tetap atau kontrak dibuat mengikut keperluan perkhidmatan di pelbagai agensi, termasuk di peringkat Persekutuan, Negeri, Badan Berkanun, dan Pihak Berkuasa Tempatan.
“Selaras dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 (PUA 1/2012), setiap pelantikan perlu memenuhi syarat dalam skim perkhidmatan yang berkaitan,” katanya. -KOSMO! ONLINE