KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti beberapa perkara sebelum mengeluarkan surat kelulusan bagi membolehkan U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile) meneruskan pelaksanaan Rangkaian 5G Kedua Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perancangan perniagaan pihak UMobile telah diberikan lebih awal dan beliau difahamkan pihak UMobile sudah membuat beberapa pengumuman mengenai tarikh permulaan pelaksanaan.
“Pihak MCMC dalam proses untuk meneliti beberapa perkara terakhir sebelum satu surat dikeluarkan untuk membolehkan UMobile meneruskan pelaksanaan Rangkaian 5G Kedua.
“Kita jangkakan mungkin dalam tempoh seminggu dua ini. Bagaimanapun, urusan di dalam DND bukan salah satu agensi bawah jagaan saya. Jadi, saya rasa mungkin pihak media boleh rujuk pihak DND,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pusat Pelanggan Persendirian Premier OCBC di Bangsar di sini hari ini.
Mengulas mengenai Projek Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa kedua, Fahmi berkata, kerajaan masih belum dalam fasa untuk mengumumkan secara khusus mengenai Jendela Fasa 2.
“Bagaimanapun, sebuah firma pengurusan projek telah dilantik untuk meneliti aspek-aspek berkaitan pelaksanaannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE