fbpx

Sultan Selangor titah percepatkan rancangan tebatan banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah hadir di Bangunan Annex, Shah Alam, hari ini-Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya kerajaan Pusat dan Selangor mempercepatkan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dirancang sebelum ini.

Baginda bertitah, projek dianggarkan bernilai RM1.774 bilion itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelak insiden banjir besar tidak berulang di Selangor.

“Kita tidak boleh melengahkan masa dalam menggerakkan usaha-usaha mitigasi banjir kerana ia boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat beta serta kerajaan negeri.

“(Dalam pada itu) Beta tegaskan sekali lagi agar pentadbiran negeri melaksanakan perancangan rapi untuk menghadapi isu bencana terutama banjir supaya tragedi yang dahsyat tidak berulang lagi,” titahnya pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Ke-15 Tahun 2025 di Bangunan Annex, di sini hari ini.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan projek tebatan banjir di Selangor diselaras dan disusun semula bagi memastikan pembinaannya dapat disiapkan dengan segera terutama di kawasan dikenal pasti seperti di Sungai Buloh dan Klang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, sejumlah RM1.2 bilion diperuntukkan bagi projek tebatan banjir yang akan dibina Petaling, manakala di Klang pula melibatkan peruntukan  RM574.5 juta.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menitahkan semua wakil rakyat di Selangor supaya melaksanakan program yang boleh membantu rakyat dari segi ekonomi dan sosial.

“Beta ingin mengingatkan supaya perancangan pembangunan negeri perlu menitikberatkan program-program yang memberi manfaat kepada rakyat bukan yang boleh memberi keuntungan sahaja.

“Beta ingin melihat kerajaan beta dan perkhidmatan awam di Selangor ini melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, efisien dan berdaya saing,” titahnya.

Sultan Sharafuddin turut memberi peringatan kepada semua penjawat awam terutama di pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor supaya menjauhi amalan rasuah dan penyelewangan dan melaksanakan tugas yang diberikan dengan penuh bertanggungjawab.

“Beta tidak mahu mendengar lagi pemilikan tanah dan pengeluaran lesen perniagaan diselewengkan bagi memenuhi keperluan peribadi.

“Ketua-ketua jabatan perlulah memastikan salah guna kuasa tidak berlaku di jabatan masing-masing,” titahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI