KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat petang ini kecoh apabila Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim mendakwa Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) cuba mencampuri urusan orang Islam sejak dua tahun lalu.
Awang mendakwa Koo Ham mencadangkan pakar Perlembangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kopetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam pada September 2023.
Beliau turut mendakwa tindakan menteri dan wakil rakyat DAP termasuk Koo Ham antara punca menjejaskan keharmonian dan merenggangkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Bukankah ini cabaran kepada Islam? Buat apa campur, orang Melayu Islam tak ganggu agama kamu, apa kamu buat, saya baca surah tadi.
“Kalau tak ada niat memperlekeh, menghina semua ini bermula apabila DAP menjadi kerajaan, sebelum ini tiada masalah,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Koo Ham kemudian segera bangkit dan dilihat mencuba untuk mencelah beberapa kali sehingga situasi tegang itu turut dicampuri oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd. Nor bagi mengawal keadaan.
“Yang Berhormat, Yang Berhormat, Yang Berhormat. Saya ambil Peraturan 42, dengar apa saya nak cakap. Yang Berhormat (Pendang), saya bagi 30 saat lagi, Yang Berhormat yang lain duduk,” tegas Ramli. – KOSMO! ONLINE