PARIT – Tiada yang lebih memilukan buat seorang remaja apabila melihat dua rakannya terkapai-kapai depan mata sebelum hilang dibawa arus Sungai Perak berdkatan Kampung Tepus, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, Muhammad Nazrin Haidar Mohd. Hisham cuba menyelamatkan Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain yang terjatuh ke dalam sungai tersebut ketika mengambil bola sebelum kedua-dua mereka yang berusia 16 tahun tenggelam.
Menceritakan kejadian itu, Mohd. Irfan Solihin Mohd. Rizal, 14, berkata, dia bersama Muhammad Nazrin Haidar dan Muhammad Naufal Aiman serta dua rakan datang ke kawasan beting pasir Sungai Perak untuk bermain bola.
Katanya, ketika bermain, bola itu tersepak jauh dan terjatuh ke dalam sungai. Muhammad Naufal Aiman segera ke tebing beting pasir untuk mengambil bola.
“Kami sudah larang dia supaya jangan ambil bola, tapi dia mahu pergi juga. Selepas melihat Aiman terjatuh, Nazrin turun ke dalam sungai dan cuba menghulur buluh tapi dia tidak dapat capai.
“Kejadian berlaku terlalu pantas apabila Nazrin tiba-tiba dihanyutkan arus dan tenggelam. Kami sempat lihat tangan Aiman terkapai-kapai dan menjerit meminta tolong sebelum dia hilang,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi operasi mencari dua mangsa itu, di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam keadaan terkejut dan panik, dia segera berlari ke tebing untuk meminta pertolongan penduduk kampung.
“Kejadian ini buat saya trauma sehingga sukar tidur malam. Hubungan kami berlima rapat kerana berkawan sejak kecil dan bersekolah di sekolah yang sama.
“Kami memang selalu datang ke beting pasir ini untuk bermain bola dan mandi tapi tidak sangka pula akan jadi begini. Saya berharap Nazrin dan Aiman dapat dijumpai segera,” katanya.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan oleh pasukan penyelamat masih dijalankan dan setakat pukul 1 petang tadi, kedua-dua mangsa masih belum dijumpai. – KOSMO! ONLINE