NEW DELHI – Seorang lelaki maut selepas diserang kawanan lebah ketika mengunjungi sebuah taman perlindungan burung di negeri Maharashtra, lapor akhbar The Sun UK.
Dalam insiden pada Sabtu lalu, mangsa, Sandeep Purohit, 44, melawat Santuari Burung Karnala bersama isteri dan seorang anaknya.
Mereka secara tiba-tiba diserang oleh kawanan lebah di samping tujuh pengunjung lain sebelum Sandeep rebah dan tidak sedarkan diri.
“Kami menerima panggilan pada pukul 11 pagi (waktu tempatan) dari kawasan Kubu Karnala yang mengatakan bahawa terdapat serangan (lebah) dengan ramai pengunjung cedera.
“Sejurus tiba, pasukan penyelamat mendapati bahawa terdapat sebilangan pengunjung disengat lebah selain seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri,” kata seorang kakitangan.
Punca kematian Sandeep sedang disiasat, namun pihak berkuasa percaya dia mungkin mengalami reaksi alahan yang mengakibatkan serangan jantung. – AGENSI