PETALING JAYA – Semua Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah mengemukakan peletakan jawatan mereka, yang bakal berkuatkuasa pada tarikh penyahsenaraian pengendali lapangan terbang itu daripada Bursa Malaysia.
Mereka ialah Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Mohamad Husin; serta Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Ramanathan Sathiamutty; Cheryl Khor Hui Peng; Datuk Seri Koe Peng Kang; dan Chris Chia Woon Liat.
Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Tan Sri Zainun Ali, yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah juga telah mengemukakan peletakan jawatannya berikutan tamatnya tempoh perkhidmatan beliau sebagai penama Kementerian Kewangan (Diperbadankan) [MOF Inc.] pada 16 Februari 2025.
Pengerusi MAHB, Dr. Nungsari Ahmad Radhi dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah melaksanakan mesyuarat lembaga pengarah terakhir sebagai syarikat tersenarai di Bursa Malaysia semalam.
“Ini menandakan berakhirnya perjalanan selama 25 tahun MAHB sebagai syarikat tersenarai awam yang bermula pada bulan November 1999, apabila ia mula diperkenalkan pada harga RM2.50 sesaham.
“Tawaran oleh konsortium Gateway Development Alliance (GDA) untuk penswastaan MAHB baru-baru ini selesai pada RM11 sesaham, mencerminkan kadar pertumbuhan purata terkompaun (CAGR) melebihi enam peratus dalam harga saham sepanjang 25 tahun.
“Syarikat juga telah mengagihkan sejumlah RM2.806 bilion dividen sehingga tahun 2023,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Nungsari turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan, kakitangan dan tiga kesatuan dalam Kumpulan MAHB atas dedikasi mereka.
“Pemegang saham baharu – Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Global Infrastructure Partners kini akan bertanggungjawab secara kolektif atas kesejahteraan syarikat, kebajikan kakitangannya dan keseluruhannya pembangunan sektor penerbangan di Malaysia secara amnya.
“Saya mengharapkan mereka untuk membawa MAHB ke tahap yang lebih tinggi sambil memenuhi kewajipan perjanjian operasi di Malaysia dan perjanjian konsesi di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen,” katanya. – KOSMO! ONLINE