PUTRAJAYA- Jumlah penyertaan Bumiputera dalam industri perkayuan di negara ini masih berada di tahap yang rendah.
Ia dibuktikan apabila usahawan Bumiputera hanya menyumbang satu peratus daripada jumlah keseluruhan eksport kayu dan produk kayu negara setiap tahun.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kebanyakan syarikat usahawan Bumiputera juga masih berada dalam kategori perusahaan kecil atau mikro.
Beliau berkata, tahun lalu, negara berjaya mengeksport produk kayu kayan mencecah lebih RM22 bilion.
“Namun, usahawan Bumiputera menyumbang kurang daripada satu peratus iaitu RM44 juta daripada jumlah keseluruhan eksport kayu dan produk kayu negara.
“Jika mahu maju dalam industri ini, usahawan Bumiputera perlu memiliki ekosistem yang boleh menguatkan perniagaan mereka ini,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Pemeriksaan Bumiputera Dalam Industri Perkayuan, di sini hari ini.
Katanya, syarikat Bumiputera juga disaran bekerjasama syarikat-syarikat besar kerana mereka mempunyai sumber bekalan kayu mencukupi. – KOSMO! ONLINE