PUTRAJAYA- Nilai eksport produk perkayuan negara meningkat 4.9 peratus kepada RM22.9 bilion pada tahun lalu selain kekal menjadi penyumbang eksport ketiga terbesar agrikomoditi negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, industri perkayuan negara kini berada di belakang minyak sawit (RM114.4 bilion) dan getah (RM33.7 bilion).
“Antara destinasi eksport produk perkayuan tempatan ialah Amerika Syarikat, Eropah dan Asia,” katanya ketika katanya ketika berucap merasmikan Simposium Pemeriksaan Bumiputera Dalam Industri Perkayuan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Johari berkata, kementeriannya merancang untuk mewujudkan semula Program Pemasaran Perabot Bersepadu Bumiputera bagi Kontrak Panel Berpusat (KPB).
“Kementerian melalui CTCS Worldwide Sdn. Bhd. iaitu sebuah anak syarikat milik penuh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) kini dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk mewujudkan semula program itu,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai simposium itu, Johari berkata, program itu dianjurkan Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia dengan kerjasama MTIB dan Majlis Kayu Malaysia (MTC). – KOSMO! ONLINE