fbpx

Nampak Ismanira dua kali, tiada kelibat Zayn Rayyan – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaim Ikhwan (depan) dan Ismanira (belakang) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.

PETALING JAYA – Saksi pendakwaan ke-16 memberitahu mahkamah hari ini bahawa dia berselisih dengan ibu Zayn Rayyan Abdul Matin sebanyak dua kali di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai di sini pada hari kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023.

Rashidah Rajali, 37, yang juga jiran dan tinggal di aras sama tingkat dua dengan keluarga Zayn Rayyan berkata, kali pertama dia berjumpa dengan Ismanira Abdul Manaf di tangga pada pukul 12.15 tengah hari, manakala kali kedua pukul 12.35 tengah hari.

“Pada 5 Disember, pukul 12.15 tengah hari saya buat rutin hantar anak pertama pergi sekolah. Saya terserempak dengan ibu Zayn di tangga.

“Ketika itu saya hendak turun ke bawah, manakala ibu Zayn hendak naik ke atas. Saya nampak dia ada bawa beg sekolah warna biru merah dan turut memakai beg silang,” kata saksi itu.

Menurut saksi tersebut, selepas menghantar anak pertamanya ke sekolah, dia pulang ke rumah pada 12.35 tengah hari. Ketika sekali lagi dia berselisih dengan Ismanira di tangga sama yang mana dia hendak naik ke atas manakala Ismanira pula hendak turun ke bawah.

“Saya ada tengok muka dia, tapi saya tidak bercakap dengan dia. Saya hanya nampak dia pakai beg silang sahaja,” katanya.

Saksi itu memberitahu, pakaian yang dipakai Ismanira ketika berselisih dengannya pada kali pertama berbeza dengan pakaian yang dipakai ketika mereka terserempak 20 minit kemudian.

Pendakwa raya: Masa puan jumpa mula-mula pada 12.15 tengah hari, puan ingat pakaian dia?
Saksi: Dia pakai tudung warna hitam, baju warna putih, kain atau seluar macam palazo warna hitam.

Pendakwa raya: Kali kedua ingat tak pakai baju apa?
Saksi: Saya tak ingat keseluruhan, tudung bercorak yang warna sedikit gelap.

Dalam prosiding sama, saksi itu turut memaklumkan dia tidak tahu rumah keluarga Zayn secara tepat dan hanya mengetahuinya pada hari kejadian kanak-kanak itu hilang.

Pendakwa raya: Puan kenal Zayn Rayyan
Saksi: Kenal…selisih pernah nampak.

Pendakwa raya: Anak-anak puan pernah main dengan dia?
Saksi: Tidak pernah, Zayn tidak pernah bermain dekat luar.

Pendakwa raya: Puan tahu tak kenapa dia tidak pernah main dekat luar?
Saksi: Saya tidak pasti.

Pendakwa raya: Anak puan ada pernah bermain di taman permainan bawah?
Saksi: Ada, pernah main dekat bawah dan saya akan teman anak-anak saya pada waktu petang.

Pendakwa raya: Masa bermain petang, pernah tak nampak Zayn main sekali di taman?
Saksi: Tidak pernah.

Pendakwa raya: Kenapa cakap Zayn tak pernah main di luar, boleh terangkan kenapa kata begitu?
Saksi: Anak saya selalu main basikal di luar koridor, tetapi saya tak pernah nampak Zayn main.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok.

Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI