PETALING JAYA – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memperkukuhkan kerjasama maritim bersama 39 negara menerusi program tujuh hari, Multilateral Naval Exercise KOMODO Siri 5 Tahun 2025 (MNEK 5/25) yang bermula Sabtu lalu di Bali, Indonesia.
Latihan dwitahunan yang dijalankan itu bersifat ‘non-war fighting’ dan turut melibatkan dua buah kapal TLDM iaitu KD Kelantan serta KD Selangor.
TLDM menerusi kenyataan berkata, Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris turut mengadakan perjumpaan bersama Panglima Tentera Laut dari Indonesia, Brunei, New Zealand dan Australia selain ketua delegasi dari Rusia, Sepanyol serta Bangladesh dalam sesi Bilateral Meeting, semalam.
“Ia membincangkan perihal kerjasama pertahanan maritim sedia ada dan perancangan masa hadapan dalam memperkukuhkan hubungan baik antara negara.
“MNEK membolehkan TLDM memperkukuh kerjasama antara negara-negara peserta terlibat dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim dan pengurusan Humanitarian Asistance and Disaster Relief (HADR),” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Khir Junaidi yang juga Ketua Delegasi TLDM telah menghadiri Majlis Perasmian MNEK 5/25.
Ia disempurnakan oleh Kepala Staf Angkatan Laut (KASAL), Laksamana TNI Dr. Muhammad Ali di Tanjung Benoa, Bali, Indonesia.
Selesai majlis perasmian, KASAL bersama perwakilan dari negara terlibat belayar bersama KRI Dr. Radjiman Wedyodiningrat bagi menyaksikan International Fleet Review yang disertai 37 buah kapal termasuk KD Kelantan dan KD Selangor. – KOSMO! ONLINE