WASHINGTON – Syarikat gergasi teknologi, Meta mengumumkan rancangan untuk membina kabel bawah laut sepanjang 50,000 kilometer yang merentasi seluruh dunia, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Menurut syarikat itu, Project Waterworth yang menghubungkan Amerika Syarikat (AS), India, Afrika Selatan, Brazil dan wilayah lain akan menjadi projek kabel bawah air terpanjang di dunia sejurus siap.
Meta yang memiliki Facebook, Instagram dan WhatsApp telah berusaha untuk menambahkan lagi skopnya di luar lingkungan media sosial termasuk dalam kepintaran buatan (AI) dan infrastruktur yang menyokongnya.
Ia berkata, projek itu akan menyediakan sambungan kabel kepada lima benua utama dan membantu menyokong projek AI Meta.
“Projek ini akan membolehkan kerjasama ekonomi yang lebih besar, memudahkan kemasukan digital dan membuka peluang untuk pembangunan teknologi di rantau ini,” kata Meta yang dimiliki Mark Zuckerberg dalam catatan di blognya.
Ia menyatakan bahawa kabel itu akan menjadi yang terpanjang setakat ini yang menggunakan sistem pasangan gentian 24 dan memberikan kapasiti lebih tinggi.
Kabel bawah laut telah menjadi semakin penting kerana ia menyediakan cara untuk menggerakkan pelbagai perkhidmatan digital dan memindahkan data ke seluruh dunia dengan pantas.
Firma penyelidikan pasaran telekomunikasi, TeleGeography berkata, pada masa ini terdapat lebih 600 sistem kabel bawah laut yang diketahui umum di seluruh dunia.
Ini termasuk kabel 2Africa disokong oleh Meta dan pengendali rangkaian mudah alih seperti Orange, Vodafone dan China Mobile yang menghubungkan tiga benua dan menjangkau 45,000 kilometer. – AGENSI