SELEPAS meraih gelaran berganda musim ini dengan memenangi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL), Pasukan Hoki Terengganu (THT) menggalas satu lagi misi penting menjelang aksi Piala TNB yang bermula hari ini.
Penyerang sensasi THT, Faizal Saari melaungkan keazaman untuk menamatkan kempen musim ini dengan sempurna apabila menyasarkan trofi Piala TNB, sekali gus melengkapkan gelaran trebel bagi saingan 2025.
Faizal berkata, kejayaan meraih gelaran berganda menjadi sesuatu yang manis buat pasukan dari Pantai Timur itu, namun ia lebih bermakna sekiranya mereka turut membawa pulang Piala TNB ke Terengganu.
“Bagi saya, memang satu sejarah untuk kita apabila tidak kalah dalam sembilan perlawanan liga. Untuk saingan 2025, memang satu pencapaian yang manis tetapi untuk lebih manis, kami perlu menang Piala TNB.
“Kami sudah memenangi dua trofi musim ini tetapi Piala TNB adalah kemuncaknya. Hanya ada tiga lagi perlawanan, jadi saya harap semua pemain dapat kekalkan momentum dan elak kesilapan mudah,” katanya.
Malam kelmarin, penyerang kebangsaan itu menjadi wira THT apabila meledak empat gol ketika menang 4-1 ke atas pasukan jemputan dari Australia, Territory Stingers di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil sekali gus muncul juara MHL.
Sebaik tamat saingan liga, THT sedang bersiap sedia untuk menghadapi aksi suku akhir Piala TNB menentang Armed Forces HT yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak hari ini.
Sementara itu, Faizal yang sedang mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 19 gol musim ini menganggap saingan Piala TNB lebih rumit dan sukar memandangkan tiada perlawanan timbal balik.
“Sebelum ini (Piala TNB) ada dua perlawanan seperti suku akhir pertama dan kedua tetapi sekarang hanya satu perlawanan. Jadi kami tidak boleh buat kesilapan yang boleh menghukum pasukan,” ujarnya.