PARIT – Seorang lagi remaja lelaki yang hilang selepas dihanyutkan arus deras Sungai Perak di Kampung Tepus di sini semalam, ditemukan lemas sebentar tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, mayat Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain, 16, dijumpai pada pukul 7 malam.
Katanya, jasad remaja terbabit ditemukan tidak jauh dari lokasi mayat rakannya, Muhammad Nazrin Haidar Mohd. Hisham, 16, ditemui pada pukul 4.45 petang.
“Anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) bomba mengenal pasti lokasi mangsa kedua dipercayai tenggelam dan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) telah membuat selaman di kawasan tersebut, namun gagal menjumpainya sehingga pukul 6.30 petang.
“Usaha kemudian diteruskan dengan membuat olakan air menggunakan teknik ‘figure of eight loop’ menggunakan bot bomba sebelum jasad mangsa akhirnya timbul pada pukul 7 malam,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada pukul 7.30 malam.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Iskandar bagi tujuan bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian. – KOSMO! ONLINE