HAMPIR empat dekad diadakan, pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) terus meraikan dan mengiktiraf hasil kerja penggiat muzik tanah air.
Sekali lagi melabuhkan tirai pada Ahad lalu, kali ini lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh iaitu Hening Rindu melakar sejarahnya tersendiri apabila dinobatkan sebagai juara bagi edisi ke-39.
Didendangkan Marsha Milan, kemenangan Hening Rindu yang direstui ramai itu sekali gus mengenepikan pencabar terdekatnya iaitu lagu Bukan Lagi Kita ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh yang juga nyanyian Nadeera Zaini di posisi naib juara.
Tanpa perlu prop berskala mega di pentas AJL, kemenangan Hening Rindu hanya berbekalkan emosi dan kawalan vokal yang hebat sekali gus berjaya menambat hati barisan juri.
Kemenangan Hening Rindu turut mengundang sebak dan tangisan tanpa henti pada pelantunnya kerana membayangkan kerja kerasnya selama 20 tahun untuk berada di posisinya seperti hari ini.
Marsha, 40, berkata, tempoh dua dekad itu bukan satu fasa yang mudah buatnya dan pelbagai perkara sudah dilakukan untuk memastikan bakatnya diterima ramai.
“Kemenangan dan trofi ini sangat bermakna sebab selama 20 tahun saya bergelumang dalam industri untuk mencari nama.

“Saya rasa anda semua tahu bagaimana saya bergelut dalam industri.
“Alhamdulillah kemenangan ini membawa makna yang sangat besar pada saya,” katanya.
Mengakui persaingannya pada AJL39 adalah barisan penyanyi dan lagu yang dianggap luar biasa, bekas bintang kelahiran Akademi Fantasia itu tidak pernah meletakkan sepenuh harapan untuk bergelar juara.
“Saya tiada sebarang jangkaan tinggi tetapi ada terfikir alangkah seronok kalau menang.
“Tapi dapat jadi juara ini memang saya tidak sangka. Sangat berterima kasih kepada semua pihak yang tidak pernah berhenti untuk percaya dengan bakat saya selama ini,” jelasnya.
Anak kelahiran Tuaran, Sabah itu sempat menzahirkan penghargaan buat Akim dan Stacy kerana pernah menghasilkan karya yang memberinya peluang bertanding di pentas AJL.

“Saya juga sepatutnya berterima kasih kepada Akim dan Stacy kerana mereka yang mula membuka jalan untuk seorang Marsha Milan ke pentas AJL tiga tahun lalu menerusi lagu Cinta.
“Dahulu Cinta sudah cukup memberi impak besar terhadap kerjaya seni saya dan kini alhamdulillah Hening Rindu pula,” katanya sebak.
Sementara, pencipta Hening Rindu iaitu Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh pula mengakui tidak pernah membayangkan Hening Rindu bergelar juara dan menewaskan beberapa lagu hebat lain.
“Pemilihan Marsha sebagai penyanyi Hening Rindu adalah tepat. Sebenarnya lagu ini dihasilkan untuk runut bunyi drama Aku Bukan Ustazah.
“Syukur, rezeki berpihak kepada kami. Marsha telah menyampaikannya dengan baik sekali, padat dengan emosi serta teknik nyanyian yang sangat hebat,” ujar Ikhwan.
Selain Nadeera yang selesa di kedudukan kedua, Akim and The Majistret pula bersyukur meski terkejut karya nyanyian mereka iaitu Saksama diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga.
Dalam pada itu, sejak beberapa bulan lalu, muncul lambakan ramalan dan perdebatan mengenai pemilik trofi vokal terbaik tahun ini.

Vokal 5 penjuru
Paling mendebarkan pastinya pertembungan lima penjuru vokal ‘power’ untuk merebut trofi vokal terbaik iaitu Nadeera, Marsha, Aina Abdul, Ernie Zakri dan Hafiz Suip.
Namun, ‘kegilaan’ kehebatan teknik vokal sehingga disamakan seperti Ariana Grande berjaya menobatkan Ernie sebagai pemilik trofi Vokal Terbaik edisi AJL39.
Seperti mengulangi kejayaan menerusi lagu Aku Cinta pada AJL32, Ernie menyifatkan kemenangan tersebut sebagai permulaan indah bagi tahun 2025.
“Kemenangan tahun ini paling tidak dijangka sebab saingan memang sengit, saya hanya berikan termampu dan terbaik.
“Ini rezeki Allah sebab beri saya kemampuan untuk menyanyi sebegitu. Jika diikutkan, saya sepatutnya masih dalam tempoh berehat selepas mengalami laryngitis tetapi konsep saya ialah ‘bantai’ sahajalah.
“Saya sudah letakkan apa yang sepatutnya dalam lagu Aura yang saya sifatkan seperti berbunga-bunga.
“Untuk bahagian teknik suara, saya beri soprano dan R&B sedikit, itu termampu yang boleh,” jelasnya.
Trofi Persembahan Terbaik pula menepati ramalan ramai iaitu menjadi milik Aina Abdul menerusi lagu Puas Sudah yang tampil dengan persembahan semacam ‘avant-garde’ berkonsepkan jantung.
Meski tidak berada dalam tiga kelompok teratas, Aina tetap optimis dan menerima segala keputusan dengan berlapang dada tanpa meletakkan sebarang jangkaan tinggi untuk bergelar juara.

Pesanan
Sementara itu, ketua juri iaitu Edry Abd. Halim sempat menitipkan pesanan kepada para finalis AJL akan datang agar mengutamakan ‘rasa’ dalam persembahan daripada berlumba-lumba melakukan ‘stunt’ (mengejar nada tinggi) untuk nyanyian.
“Adakalanya tidak perlu mencapai nada tinggi tetapi perlu bijak mengawal kualiti vokal dan mahupun perasaan.
“Stunt dalam nyanyian okey untuk dilakukan tetapi jangan terlalu kerap. Kedua, elak membuat persembahan melebihi durasi ditetapkan.
“Pertandingan ada undang-undang, kalau ubah lagu menjadi terlalu panjang , juri perlu mengambil kira pemarkahan dari sudut teknikal polisi kerana tidak adil untuk peserta lain,” jelasnya yang kali pertama bertindak selaku Ketua Juri AJL.

Tak bingit
Melihat kepada penganjuran, AJL39 berjaya membuktikan kematangannya termasuk sistem bunyi dan orkestra pimpinan Genervie Kam, sekali gus berjaya menghasilkan susunan muzik luar biasa tanpa membingitkan telinga.
Mempertandingkan 10 buah lagu berbanding 12 yang sebelum ini menerima kritikan hebat mencapai objektifnya termasuk peluang kepada para finalis untuk mencipta kreativiti dalam persembahan.
Pemilihan Naz Rahman dan Sissy Iman sebagai hos yang sebelum ini menerima kecaman ramai pula menerima respons sebaliknya apabila dipuji selain berjaya mengawal keadaan meski adakalanya terlalu scripted, namun tak salah bertukar angin.