LIVERPOOL – Walaupun menang 2-1 tetapi pengurus Liverpool, Arne Slot menganggap para pemainnya terpaksa berdepan penderaan mental oleh Wolverhampton Wanderers pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield malam kelmarin.
Menyedari situasi sukar dihadapi The Reds di separuh masa kedua, Slot menarik nafas lega apabila mampu menoktahkan perlawanan itu dengan kemenangan, namun beliau langsung tidak gembira dengan prestasi pasukan.
Ia berdasarkan statistik yang menunjukkan Liverpool gagal merekodkan sebarang percubaan ke gawang Wolves sepanjang tempoh 45 minit terakhir perlawanan itu.
“Dari segi mental, kami berdepan kesukaran di babak kedua apabila pasukan lawan tampil lebih baik, manakala aksi kami makin menurun. Kami perlu menyerlahkan mentaliti kami dan pada akhirnya ia berjaya dilakukan.
“Sepanjang musim, kami sering lalui banyak perlawanan seperti ini di mana agak sukar untuk mendapatkan kemenangan apabila kami tidak bermain dengan baik. Ia berlaku sekali lagi tetapi kami terselamat.
“Kami mahu capai sesuatu, ia tidak hanya berkisar untuk keluarkan bola daripada kawasan sendiri atau mengenai jaringan Mohamed Salah. Ia juga pasti berkisar tentang cara kami bertahan,” katanya.
Luis Diaz dan Mohamed Salah memastikan The Reds berkelebihan dua gol di babak pertama, namun kebangkitan cuba dilakukan Wolves di babak kedua hanya mampu menghasilkan satu gol menerusi Matheus Cunha.
Keputusan itu menyaksikan Liverpool meraih 60 mata, berkelebihan tujuh mata berbanding Arsenal di tangga kedua. – AGENSI