BARCELONA – Pelari jarak jauh Uganda, Jacob Kiplimo mencipta sensasi apabila memadam rekod dunia acara separuh maraton dengan catatan 56 minit (m) 42 saat (s) dalam perlumbaan berlangsung di Barcelona, Sepanyol semalam.
Lebih mengagumkan, Kiplimo bukan sahaja memadam rekod milik Yomif Kejelcha (57:30s) dengan kelebihan 49 saat, tetapi juga mencipta sejarah sebagai manusia pertama menamatkan separuh maraton bawah masa 57 minit.
Perlumbaan berlangsung dalam keadaan cuaca baik dengan suhu 13 darjah Celsius tanpa angin itu menyaksikan Kiplimo turut mencatat rekod dunia baharu untuk jarak 15 kilometer (km) dengan masa 39:47s.
“Ia adalah perlumbaan yang sempurna. Suhu yang sesuai, tiada angin langsung, laluan perlumbaan yang hebat, semuanya berjalan lebih baik daripada jangkaan.
“Pelari menetapkan rentak 2:45s seperti dirancang tetapi saya berasa sangat bertenaga dan memutuskan untuk meningkatkan kelajuan selepas 3km. Saya tak pernah menyangka mampu mencatat masa bawah 57 minit. Ia sungguh luar biasa,” kata Kiplimo.
Kiplimo selepas ini tidak akan menyertai perlumbaan lain sebelum turun membuat penampilan pertama dalam London Maraton pada 27 April ini.
Sementara itu, bekas pemegang rekod dunia Joyciline Jepkosgei dari Kenya membuktikan kehebatannya apabila mempertahankan kejuaraan kategori wanita dengan masa 1:04:13s sekali gus mencipta catatan baharu Barcelona Half Maraton.
Bukan itu sahaja, Jepkosgei juga memperbaharui rekod peribadi dengan peningkatan 16 saat, memastikan kemenangan berturut-turut di Barcelona. – AGENSI