fbpx

Kes tembak Setia Alam: Suspek mati ditembak di bilik hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek (gambar kecil) kes tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam Sabtu lalu.

KLANG – Selepas lebih seminggu diburu, suspek yang terlibat dalam kes tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam akhirnya maut dalam insiden berbalas tembakan di Pulau Ketam, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi di sebuah hotel di pulau tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam usaha menjejaki seorang penjenayah di premis tersebut.

Katanya, sewaktu serbuan berlaku insiden tembak-menembak antara polis dan suspek berkenaan di bilik hotel itu.

“Suspek tempatan berusia 30an itu berjaya ditembak mati dan polis menemui dua pucuk senjata api berisi peluru bersama suspek.

“Semakan mendapati suspek dipercayai terlibat dalam insiden tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam, baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, semakan mendapati suspek tersebut mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk satu kes dadah dan tujuh jenayah samun.

Difahamkan mayat suspek akan dibawa ke jeti di Pelabuhan Klang selepas siasatan dan pemeriksaan selesai dijalankan di lokasi oleh unit forensik.

Kosmo! pada 8 Februari lalu melaporkan seorang pekerja tukang cuci terkena dua daripada empat das tembakan di bahagian kaki dan punggung yang dilepaskan seorang suspek lelaki dalam kejadian tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam.

Kemudian, suspek melepaskan beberapa tembakan ke arah tingkap tangga dan pintu gelangsar sebelum melarikan diri.

Seterusnya suspek merampas sebuah Perodua Ativa yang dipandu seorang pengunjung pusat beli-belah dengan mengacukan senjata api dan memaksa pemandu membawanya keluar dari Shah Alam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI