KLANG – Penjenayah yang ditembak mati di bilik sebuah hotel di Pulau Ketam di sini dikatakan sedang mencari bot untuk melarikan diri ke Thailand.
Perkara itu dimaklumkan seorang penduduk yang enggan dikenali berusia 30an apabila suspek telah singgah ke sebuah restoran di sekitar pulau berkenaan bagi menikmati makanan.
Katanya, tindakan suspek mencari bot berkenaan disebabkan mendakwa pasportnya telah disenaraihitamkan pihak berkuasa.
“Ketika makan, suspek ada tanya sama ada terdapat bot yang terus ke Thailand. Dia mahu ke negara tersebut disebabkan rindu isteri dan anaknya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jelas penduduk itu, suspek telah datang ke pulau berkenaan dengan menggunakan sebuah feri kira-kira pukul 3 petang semalam.
“Sebelum pulang, lelaki itu sempat membeli sejumlah ayam goreng untuk diberikan kepada pekerja hotel berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, pekerja hotel mahu dikenali Cha memaklumkan suspek mendaftar masuk kira-kira pukul 5.15 petang dengan memakai topi dan berselipar selain memegang sebungkus plastik.
Ujarnya, suspek menempah bilik selama tiga hari bermula semalam dengan menginap di aras bawah hotel dua tingkat itu.
“Tiada sebarang kelainan ketika dia mendaftar dan nampak seperti penginap lain. Sangat terkejut
apabila terdengar bunyi tembakan dan diarah polis supaya segera keluar dari hotel itu bersama 12 penginap lain.
“Tidak sangka, lelaki itu adalah suspek yang diburu sebelum ini (atas kejadian tembakan di pusat beli belah di Setia Alam),” ujarnya.
Jelasnya, ini merupakan kejadian pertama berlaku sejak hotel itu beroperasi sejak 31 tahun lalu dengan mempunyai 42 bilik keseluruhannya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan suspek dikenali Ah Boy berusia 30an ditembak mati selepas kejadian berbalas tembakan dalam bilik sebuah hotel di Pulau Ketam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam sidang akhbar dipetik berkata, pihaknya mempercayai suspek dalam merancang melarikan diri ke luar negara ketika berada di Pulau Ketam itu. – KOSMO! ONLINE