KLANG – Penjenayah dikenali Ah Boy yang terlibat dalam kes tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam didapati menggunakan modus operandi ala permainan video aksi Grant Theft Auto (GTA).
Ini selepas suspek berusia 30an itu yang bergerak secara solo ada menaiki aplikasi e-hailing selain mengugut pemandu lori dengan menggunakan pistol serta mencuri motosikal.
Dalam tempoh 10 hari pemburuan selepas insiden di Setia Alam pada 8 Februari lalu didapati suspek telah berada di Melaka, Banting, Sabak Bernam dan Pulau Ketam dengan melakukan keseluruhan lima kes samun, ugutan dan pecah rumah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati suspek telah bergerak aktif sejak 2014 secara berkumpulan sebelum mengambil keputusan menjalankan jenayah bersendirian pada tahun lalu.
Katanya, suspek merupakan penjenayah dikehendaki dalam kes jenayah dan pengedaran dadah.
“Semakan mendapati bermula pertengahan tahun lepas sebanyak 15 kes jenayah dilakukan suspek termasuk kejadian samun kedai emas di Kajang, Klang dan beberapa tempat lagi.
“Suspek juga pernah dipenjara sebanyak dua kali atas kesalahan samun sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan mendapati suspek telah lari dan berada di Melaka selama lima hari selepas melepaskan tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam.
Suspek berasal dari Klang itu kemudiannya bergerak ke Banting sebelum menuju ke Sabak Bernam dan akhirnya di Pulau Ketam.
“Di Sabak Bernam, dia sempat melakukan jenayah pecah rumah dan curi motosikal serta menunjukkan senjata api. Secara keseluruhannya, sebanyak lima kesalahan dilakukan selepas insiden di Setia Alam.
“Sepanjang 10 hari pemburuan, suspek menggunakan perkhidmatan e-hailing dan ugut pemandunya hantar ke Melaka.
“Di negeri tersebut, suspek juga menggunakan kaedah sama iaitu dengan mengugut orang awam seperti pemandu lori serta mencuri motosikal sampai ke Sabak Bernam sebelum mengugut pemandu lori untuk ke Klang,” katanya.
Beliau menambah, suspek akhirnya berjaya ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan ketika melakukan tangkapan dalam kejadian di sebuah hotel di Pulau Ketam kira-kira pukul 3 pagi tadi.
Suspek dikatakan telah bersembunyi di hotel berkenaan malam tadi dan dipercayai dalam merancang melarikan diri ke luar negara.
“Kita turut menjumpai dua pucuk pistol berisi peluru dengan tiada insiden tembakan itu tidak melibatkan orang awam.
“Siasatan masih dijalankan daripada mana suspek memperoleh senjata api itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE