SHAH ALAM – Suspek yang ditembak mati di Pulau Ketam hari ini dipercayai merancang melakukan samun kedai emas di pusat beli-belah di Setia Alam di sini dua minggu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan siasatan, suspek membuat persiapan untuk melakukan jenayah itu termasuk di mana-mana premis dalam pusat beli-belah berkenaan.
Katanya, tukang cuci warga asing berusia dalam lingkungan 30-an yang cedera ditembak dalam kejadian itu merupakan mangsa keadaan.
“Ada benda yang mengganggu (rancangan) sehingga menyebabkan suspek melepaskan tembakan secara rambang yang mengenai tukang cuci dan cermin pada pusat beli-belah berkenaan.
“Dari segi persiapan, kita percaya suspek ada merancang menyamun kedai emas dan mana-mana premis di situ (pusat beli-belah),” katanya pada sidang akhbar di Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang di sini hari ini.
Kosmo! pada 8 Februari lalu melaporkan seorang tukang cuci terkena dua daripada empat das tembakan di bahagian kaki dan punggung yang dilepaskan seorang lelaki dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam.
Suspek berusia dalam lingkungan 30-an melepaskan beberapa tembakan ke arah tingkap tangga dan pintu gelangsar sebelum melarikan diri.
Suspek kemudian merampas sebuah kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu pengunjung pusat beli-belah berkenaan dengan mengacukan senjata api dan memaksa pemandu membawanya keluar dari kawasan Shah Alam.
Suspek dikenali sebagai Ah Boy bagaimanapun mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan polis di sebuah hotel di Pulau Ketam kira-kira pukul 3 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE