TELUK INTAN – Kementerian Kewangan menetapkan sasaran cukai langsung sebanyak RM200.8 billion tahun ini sekali gus menyumbang hampir 50 peratus jumlah hasil kerajaan Persekutuan.
Timbalan menterinya, Lim Hui Ying berkata, ia menunjukkan dana dari sumber cukai langsung itu merupakan nadi kepada kelangsungan pembangunan dan
kesejahteraan negara.
Beliau yakin seluruh kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan terus amanah dan cemerlang dalam melaksanakan bidang tugas masing-masing sehingga membolehkan sasaran kutipan yang ditetapkan itu dicapai.
“Semoga setiap usaha untuk membina sistem percukaian negara yang cekap dan efisien dapat direalisasikan untuk manfaat dan kebaikan semua,” katanya berucap pada majlis perasmian Menara Hasil Teluk Intan di sini, hari ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan perasmian bangunan setinggi tiga tingkat bernilai RM26.3 juta itu.
Hui Ying juga berkata, sehingga 13 Februari lalu, lebih daripada 11,600 pembayar cukai Fasa Dua telah menggunakan sistem e-invois.- KOSMO! ONLINE