fbpx

Kemuncak prestasi Alia pada waktu tepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALIA mencipta rekod baharu Asia dalam acara 25m pistol wanita pada Piala Asia 2025 di Bangkok kelmarin.

PENEMBAK negara, Alia Sazana Azahari kembali membuktikan kemampuannya di pentas antarabangsa apabila bukan sahaja meraih pingat emas acara 25 meter (m) pistol wanita, tetapi turut memecahkan rekod Asia pada Piala Asia 2025 di Bangkok, Thailand kelmarin.

Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas prestasi mendatar sepanjang tahun lalu, sekali gus menghidupkan kembali harapan Malaysia dalam acara menembak menjelang Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember depan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Jasni Shaari mengakui kemenangan tersebut sangat dinanti-nantikan setelah Alia mengalami fasa kurang menyerlah sejak tahun lalu.

“Sebab kita tunggu juga (prestasi terbaik), tahun lalu dia mendatar, bukan kata tak bagus. Dia nampak kebaikan dari situ dan apa yang dimiliki,” katanya.

Jasni turut menyatakan kejayaan penembak berusia 33 tahun itu diraih ketika di kemuncak prestasi dan kemungkinan besar melayakkannya beraksi di Sukan SEA nanti.

“Bila dia sampai di kemuncak prestasi pada waktu yang betul, dia mampu untuk mencatat markah tinggi. Tiada masalah buatnya untuk sampai ke kemuncak prestasi terlalu awal memandangkan Sukan SEA berlangsung hujung tahun ini.

“Apa yang perlu dilakukan hanya perlu terus berlatih. Kita akan memastikan dia sampai ke puncak prestasi sekali lagi hujung tahun nanti,” katanya.

Dalam aksi final di Lapang Sasar Menembak SAT, Bangkok, Alia membidik 44 hit daripada keseluruhan 50 sasaran, sekali gus memadam rekod Asia sebelum ini dipegang oleh penembak Korea Selatan, Yang Ji In (41 hit) pada Kejohanan Menembak Asia 2024 di Jakarta, Indonesia.

Ia juga adalah pingat emas kedua Malaysia selepas Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin mencipta kejayaan dalam acara 10m air pistol wanita dengan 239.3 mata pada Khamis lalu.

Memandangkan kejohanan masih berlangsung hingga 22 Februari ini, Malaysia kini memiliki momentum besar untuk terus menyerlah di pentas Asia dengan Alia Sazana kembali sebagai ancaman utama menjelang Sukan SEA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI