PETALING JAYA – “Kami mahu siasatan lengkap disegerakan dan pelaku dihadapkan ke muka pengadilan.”
Itu harapan keluarga Allahyarham Aysar Zahran Saiful Alimin yang maut akibat nahas enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang pada 2 Februari lalu.
Peguam yang mewakili keluarga arwah, Haniff Khatri berkata, pihaknya juga telah menghantar surat ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung perkara berkenaan.
“Saya dilantik sebagai penyelia untuk kes ini untuk menyampaikan permintaan keluarga arwah supaya polis menjalankan siasatan yang menyeluruh.
“Kita juga berharap kertas siasatan itu dapat dimajukan kepada pejabat Peguam Negara yang menjurus kepada satu pertuduhan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Khatri berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan dan beberapa keterangan telah diambil melibatkan mangsa dan saksi bebas.
“Saksi bebas ini terdiri daripada pemandu yang berada di lokasi kejadian. Mereka telah tampil dan memajukan video rakaman kamera papan pemuka yang memaparkan kejadian untuk membantu siasatan.
“Secara rumusan, kita bukan nak hukum atau cari kesalahan dalam hal ini dan pihak keluarga tidak memikirkan isu pampasan, sebaliknya hanya menuntut keadilan untuk anak mereka,” jelasnya.
Sementara itu, Saiful Alimin Mohd. Mokhtar, 58, berkata, meskipun mengakui reda dengan ketentuan Ilahi, namun berharap agar siasatan dapat dijalankan dengan telus.
“Arwah Aysar pada kami adalah pinjaman Allah pada kami. Kami kena reda. Tetapi dalam masa yang sama kami berharaplah.
“Kes ini bukan masalah anak kami sahaja, tapi ini merupakan masalah rakyat kita dan apabila berlaku kemalangan kita memang berharap kes dapat diselesaikan dan si pelaku dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Allahyarham Aysar Zahran, 20, maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Alza yang memasuki laluan bertentangan dalam kejadian kira-kira 4.45 petang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- KOSMO! ONLINE