PETALING JAYA – Tular di media sosial sebuah video memaparkan situasi para peniaga berlari demi merebut tapak bazar bulan Ramadan di daerah Muar.
Menerusi perkongsian @asyaaanie_, pada mulanya para peniaga telah pun berkumpul di hadapan pagar menunggu pihak penganjur untuk membenarkan mereka masuk.
Sejurus selepas pagar dibuka, para peniaga berlari berpusu-pusu dan tolak-menolak sehingga ada dalam kalangan mereka terjatuh serta dipijak oleh orang di belakang.
Ada juga yang bertindak melompat ke atas tembok batu untuk menjadi yang terpantas merebut giliran tapak bazar itu.
“Semoga adik yang jatuh baik-baik sahaja. Kasihan tengok. Semoga dipermudahkan segala urusan peniaga-peniaga bazar nanti,” tulis pengguna tersebut di ruangan kapsyennya.
Sementara itu di ruangan komen ramai tertanya-tanya tentang situasi tersebut serta mempersoalkan mengapa tiada cabutan undi dilaksanakan oleh pihak bertanggungjawab.
“Tak faham kenapa kena lari, tak ada sistem undian ke? Kan lebih memudahkan. Kasihan dengan para peniaga,” komen Syafiq.
“Penganjur atau pihak bertanggungjawab cubalah buat sistem yang sistematik sikit. Kalau ada yang jatuh cedera parah siapa nak jawab,” komen Alisya.
“Sedihnya tengok semua kuat semangat berniaga dan gigih cari duit pada bulan ramadan nanti. Semoga semuanya dipermudahkan,” komen Faisal.
Dalam pada itu, ada beberapa individu berkata sistem undian tidak dapat dijalankan kerana permohonan tapak terhad oleh peniaga yang terlalu ramai.
“Pemohon terlalu ramai. Tapak terhad. Tak boleh nak buat undian.. Nanti kalau buat undian, ada yang tuduh pihak bertanggungjawab bagi pada kroni,” komen Hisyam.
“Saya antara pemohon bazar di Kluang. Masa permohonan dibuka ramai datang yang tak dapat. Katanya dah penuh. Bayangkan, tapak 100 tapi yang datang 500 peniaga. Jadi yang awal sahaja dapat, lambat tak dapat,” komen Khatijah.
“Memang kena lari kak, kalau tak memang tak dapat tapak. Macam nilah lumrah kami peniaga. Lainlah kalau musim Covid dulu, semua boleh beratur elok-elok,” komen Hakim. – KOSMO! ONLINE