SHAH ALAM – Pindaan terhadap Akta Kawal Selia Padi dan Beras (Akta 522) bagi meningkatkan penguatkuasaan berhubung tindakan mencampurkan beras import dengan tempatan akan disiapkan tahun ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini bagi membolehkan akta itu dibentangkan sidang Dewan Rakyat pada tahun hadapan agar tindakan dapat diambil terhadap pengilang, pemborong dan peruncit.
“Pindaan akta ini mesti siap sebelum tahun depan. Kalau tidak siap tahun depan, saya akan kena hentam lagi,” katanya selepas majlis penyampaian Bantuan Wang Persekolahan Agrobank 2025 dan Pelepasan Anak Ikan Talapia Aquaculture Aspire di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pindaan itu kelak akan turut mempertimbangkan cadangan daripada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang buat penyelidikan berkaitannya.
“Kita juga menubuhkan sebuah pasukan yang terdiri daripada 1,200 anggota pelbagai agensi dalam kementerian ini yang terlibat dalam pemantauan tersebut.
“Kalau didapati bersalah, kita akan ambil tindakan terhadap mereka mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” tegasnya.
Minggu lalu, Mohamad ketika penggulungan perbahasan di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan bersetuju untuk meminda Akta 522 bagi meningkatkan penguatkuasaan ke atas pengilang, pemborong dan peruncit, sekaligus membendung kegiatan menukar beras tempatan menjadi beras import. – KOSMO! ONLINE