fbpx

Kakak derita kanser, suami sakit kencing manis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR YASMIN (berdiri) dan kakaknya, Nor Amira menerima kunjungan Zuraini di rumahnya di Kampung Nawar, Pokok Sena semalam.

POKOK SENA – Seorang suri rumah cekal menjaga kakaknya yang menderita kanser usus dan ketumbuhan dalam hati, meskipun dia sendiri berdepan ujian besar apabila suaminya dirawat di hospital akibat kencing manis sejak lebih sebulan lalu.

Menurut Nor Yasmin Natasya Azid, 29, dia membantu kakak­nya, Nor Amira, 32, menguruskan diri termasuk menukar beg ­stoma digunakan setiap hari.

“Saya rela menjaga kakak ke­rana faham kepayahan dilalui­nya meskipun saya sendiri perlu menguruskan dua anak berusia enam dan sembilan tahun ketika suami, Mohd. Saifullah ­Mazlan, 34, berada di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal di rumahnya di Kampung Nawar, di sini semalam.

Nor Yasmin berkata, kakaknya me­numpang sementara di rumah mereka memandangkan abang iparnya, Muhamad Latif Abdullah, 38, perlu bekerja di sebuah kelab golf dekat Jitra serta me­nguruskan anak-anak saudara­nya yang masih bersekolah.

“Sejujurnya dalam keadaan sekarang, saya sendiri hanya mengharapkan bantuan adik-beradik kerana suami tidak dapat mencari rezeki menjual ikan setelah lebih sebulan berada di wad akibat nanah dalam kaki yang mengakibatkan sebahagian daging dari buku lali ke betisnya terpaksa dibuang,” ujarnya.

Sementara itu, Nor Amira berkata, dia baru selesai menjalani pembedahan membuang sebahagian usus di HSB pada 2 Februari lalu.

“Suami adik masih tidak dapat bekerja bagi mencari nafkah, manakala pendapatan suami saya hanya RM1,300 saja sebulan. Buat masa ini, kehidupan kami dua keluarga memang ­banyak dibantu saudara-mara termasuk ibu dan ayah menoreh getah serta menjual ikan secara kecil-kecilan menggunakan ­motosikal,” ujarnya.

Katanya, perbelanjaan diperlukan agak tinggi memandangkan dia perlu membeli beg stoma selain minum susu khas yang agak mahal disarankan doktor.

“Perbelanjaan sekolah anak-anak yang baru bermula pun kami banyak bergantung kepada bantuan awal persekolahan diberikan kerajaan selain Sumba­ngan Tunai Rahmah (STR). Buat masa ini, susu khas itu masih dibekalkan hospital, namun sampai masanya nanti saya perlu membelinya sendiri,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Nor Amira di talian 016-741 7343 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0213041100076880 atas namanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI