PETALING JAYA – “Assalammualaikum, maaf menggangu. Cikgu, esok bawa beg sekolah ke?.”
Itu antara soalan-soalan ‘menguji kesabaran’ yang terpaksa ditempuh kebanyakan guru ketika mengendalikan aplikasi grup WhatsApp bersama ibu bapa.
Isu yang dibangkitkan seorang pengguna media sosial, @aman_kurin12 itu bukan sahaja dipersetujui oleh majoriti para guru malah sebahagian ibu bapa juga, yang menyifatkan ia soalan remeh dan tidak sepatutnya dipersoalkan.
“Kadang-kadang, soalan macam inilah buat aku respect (hormat) dekat cikgu-cikgu zaman milenial ni. Mak ayahnya pun,” katanya.
Situasi berkenaan turut menyebabkan ada netizen yang mempertikaikan kepentingan fungsi grup WhatsApp sekolah tetapi disalahgunakan golongan tersebut.
“Bila difikirkan balik, kenapa perlu ada grup sekolah? Kenapa tak buat macam zaman kita dulu, cuma pesan dekat anak balik rumah, anak sendiri akan beritahu semuanya dekat kita. Bukankah elok untuk ajar anak jadi orang yang bertanggungjawab dan amanah?,” ujar seorang pengguna.
“Esok nak sekolah, malam tu ibu pelajar tanya, ‘Cikgu, esok pakai baju sekolah ke?’. Cikgu baru fikir kelamnya jalan nak masuk syurga, ada sorang ibu pelajar lain jawab, ‘Tak, pakai baju raya’,” kongsi @ellie_syahhidah.
“Sementara di grup ibu bapa tingkatan satu ada yang tanya, ‘Cikgu, taklimat ibu bapa esok ibu bapa kena datang ke? Nak ja tolong jawab, ‘Eh tak, roh ibu bapa ja’. Husnuzon sajalah, mungkin anaknya yang tanya,” komen esha232 pula. – KOSMO! ONLINE