TAPAH – Sebuah jawatankuasa khas bagi memastikan lokasi tanah runtuh di Taman Bunga Raya di sini selamat dan boleh diduduki secepat mungkin akan ditubuhkan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau telah mengarahkan Pegawai Daerah untuk menubuhkan jawatankuasa khas tersebut bersama pihak berkuasa tempatan, jabatan teknikal serta agensi berkaitan.
“Turun melihat sendiri lokasi tanah runtuh di Taman Bunga Raya, Tapah yang mengakibatkan paip air mentah milik Lembaga Air Perak bocor dan rakyat terputus bekalan air baru-baru ini.
“Syukur Alhamdulillah, kerja-kerja pembaikan paip telah pun dilakukan dan isu gangguan bekalan air di kawasan Batang Padang dan Hilir Perak telah kembali pulih sepenuhnya,” katanya di sini hari ini.
Saarani berkata, mereka memahami akan kegusaran penduduk Taman Bunga Raya dan fokus kerajaan negeri ketika ini ialah mahu memastikan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Katanya, kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama dengan jabatan dan agensi terlibat bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan pemulihan dilaksanakan dengan segera.
“Dalam masa yang sama, kita akan berikhtiar dan mencari jalan bagaimana untuk meringankan beban penduduk yang terkesan. Semoga urusan penduduk di Taman Bunga Raya ini dipermudah. Insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE