BANDAR RAYA MEXICO – Seekor ‘ikan gempa bumi’ yang jarang ditemui dikesan terdampar di tepi sebuah pantai di Mexico, lapor laman berita Fox News semalam.
Beberapa pengunjung yang melihatnya membantu ‘oarfish’ yang mirip ular itu kembali ke dalam laut.
“Ini menakjubkan, ia adalah (ikan oar) paling kecil yang pernah saya lihat,” kata seorang lelaki.
Seorang lagi pengunjung, Robert Hayes berkata, ikan itu berenang kembali ke arah mereka dan mengangkat kepalanya di atas air.
“Kami mengalihkannya tiga kali ke dalam air tetapi ia kembali semula,” katanya.
Hayes berkata, lelaki itu akan membawa ikan itu kepada ahli biologi marin dan menganggap ia mengalami kecederaan.
Hidupan yang tinggal di laut dalam itu turut digelar ‘ikan kiamat’ kerana kehadirannya dianggap membawa petanda buruk seperti bencana gempa bumi. – AGENSI