SEREMBAN – Seorang gadis yang didakwa atas pertuduhan melakukan penderaan fizikal dan pengabaian terhadap empat kanak-kanak di sebuah pusat jagaan yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) pada Ogos tahun lalu, menukar pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 21 l, yang sebelum ini tidak mengaku bersalah menukar pengakuan tersebut ketika prosiding keputusan representasi di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi dan Datin Surita Budin.
Mengikut empat pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun telah menganiayai mereka dengan cara menekap sudu besi panas di lengan mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal seperti melecur.
Kesalahan itu dilakukan sekitar bulan Ogos di sebuah pusat jagaan di Taman Merbok Ria di Rasah, Seremban di sini.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001[Akta 611] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebelum itu, pihak pendakwaan memaklumkan representasi yang dikemukakan telah ditolak, namun terdapat perkembangan terkini dan memohon pertuduhan dibacakan.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 Mac depan untuk penyediaan laporan sosial dan fakta hukuman.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Noorashikin Nasarudin dan Nurul Balkis Zunaidi manakala tertuduh diwakili peguam, Boestamam Ahmad. – KOSMO! ONLINE