SUNGAI PETANI – Dua daripada empat anggota polis yang cedera akibat ditetak dengan parang dalam kejadian amuk seorang lelaki di Taman Seri Astana, di sini Jumaat lalu kini dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kedua-dua anggota berpangkat sarjan itu menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
“Seorang anggota berusia lingkungan 50-an mengalami kecederaan di kepala, bahu kanan dan pinggul, manakala rakan setugasnya berusia lingkungan 40-an cedera pada kedua-dua belah tangan.
“Kedua-duanya dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan susulan di hospital berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, polis setakat ini telah merakam keterangan daripada keluarga suspek termasuk saksi kejadian bagi membantu siasatan dan akan memanggil beberapa lagi saksi lain.
Beliau turut mengesahkan anggotanya melepaskan beberapa das tembakan semasa kejadian dan pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian suspek.
“Keputusan hasil laporan bedah siasat itu mungkin akan diperoleh antara tempoh dua minggu atau sebulan,” ujarnya.
Tambahnya, kes masih disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – KOSMO! ONLINE