SHAH ALAM – Pelakon dan pempengaruh media sosial, Zarina Anjoulie mengakui lebih selesa menyimpan kemas identiti kekasih baharunya sebagai usaha mengelak penyakit ain.
Zarina atau nama sebenar Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul, 37, berkata, pengalaman melalui fasa percintaan dan perkahwinan yang kecundang sebelum ini mendorongnya untuk mengambil pendekatan sedemikian.
“Sebelum ini saya jenis yang suka berkongsi semua perkara termasuk hal peribadi kepada pengikut kerana berasakan mereka juga sebahagian daripada kehidupan saya.
“Tetapi sekarang saya sudah serik kerana bukan semua orang suka tengok kita bahagia. Selain itu sebolehnya saya cuba elakkan mata ain atau buatkan orang lain berkata buruk.
“Berikutan itu, apabila saya kembali bercinta sekarang, saya selesa untuk lebih ‘low-profile’. Biarlah detik bahagia ini hanya kami yang melaluinya,” katanya pada majlis memperkenalkannya sebagai duta O’Briens Irish Sandwich Cafe di cawangan baharu di Management & Science University (MSU), hari ini.
Ditanya mengenai identiti kekasih baharunya, pelakon drama Curang Tanpa Niat itu memaklumkan lelaki berkenaan bukanlah orang yang asing dalam kehidupannya.
Sebaliknya, jelas Zarina, lelaki tersebut merupakan bekas kekasihnya yang telah dikenali sejak 12 tahun lalu dan kini kembali menjalin cinta.
Katanya, insan terbabit merupakan seorang juruterbang tetapi pernah terbabit dalam dunia seni ketika awal perkenalan mereka.
“Sebenarnya kami sudah kenal lama dan pernah bercinta. Ketika itu saya yang banyak membantu dirinya ketika mula bertapak dalam dunia pekerjaan. Tetapi hubungan kami berakhir.
“Namun kami masih berhubung. Saya pun tak sangka hubungan kami terjalin semula. Kini dia pula yang mahu membalas jasa selepas dahulu saya banyak membantunya.
“Bagi saya itulah lelaki sejati. Bukan yang mahu kita susah bersama-sama tetapi bila senang dia ghaib. Apabila tiba saatnya nanti mungkin saya kenalkan, cuma bukan sekarang,” kongsinya.
Tunggu masa tepat
Pada masa sama, aktres sensasi enggan meletakkan sebarang sasaran terhadap hubungan mereka, sebaliknya mahu terus berumah tangga apabila tiba masa yang tepat.
“Kami sudah sama-sama matang. Walaupun dia tak pernah berkahwin tetapi dia bukan jenis yang memaksa. Malah kami belum menyentuh soal berumah tangga.
“Kalau ada, ada lah. Saya pun pernah melalui kehancuran rumah tangga, lebih daripada trauma.
“Kalau saya nak berkahwin semula pun memang dialah lelaki yang akan saya pilih sebagai suami, bukan orang lain,” ujarnya.
Sebelum ini Zarina mendirikan rumah tangga dengan lelaki asal Brunei pada 2015 tetapi bercerai tahun berikutnya, namun dikurniakan seorang anak lelaki, Awangku Gabriel Martin Ezra, 9.
Aktres terbabit kemudian berkahwin dengan Eilyas Azhar pada 17 Julai 2020, namun ikatan itu berakhir pada Februari 2021.
Mereka kemudian rujuk semula, namun kembali bercerai sekitar dua bulan selepas itu. – KOSMO! ONLINE