KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang membangunkan sekolah dengan konsep menegak bagi menempatkan bangunan dua blok dengan kapasiti antara 10 hingga 17 tingkat di sekitar ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, syor itu dibuat bagi memenuhi keperluan tanah terhad serta pertambahan penduduk di sini.
Katanya, cadangan itu akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tujuan pelaksanaannya kelak.
“Konsep ini digunakan secara meluas di Australia dan ia dibina secara konvensional, merangkumi padang serta blok bangunan dipadatkan menjadikan sekolah dua blok antara 10 hingga 17 tingkat.
“(Cadangan konsep) ini (dibuat) tanpa kita mengorbankan elemen penting dalam pelajaran, sukan dan rekreasi, selain ia memanfaatkan ruang atas bumbung,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai pembangunan kemudahan asas seperti dewan dan sekolah di sekitar ibu negara memandangkan keluasan tanah yang ada adalah terhad.
Mengulas lanjut Dr. Zaliha berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) ketika ini belum bercadang membangunkan projek perumahan mampu milik di atas 84 lot tanah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dengan keluasan 164.5 hektar.
Sebaliknya, beliau berkata JWP sudah mengenal pasti 139 tapak dengan keluasan 1,228.95 hektar untuk pembinaan projek yang akan dibuat secara pembangunan semula pada masa akan datang
Tambahnya, pembangunan itu akan dibuat seiring Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) dan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (DPTKL2040). – KOSMO! ONLINE