fbpx

Bicara kes Muhyiddin 11 hari, Tengku Zafrul antara saksi beri keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 11 hari bagi perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap tujuh pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Tarikh-tarikh itu ialah 17 hingga 19 September, 6 hingga 8 Oktober, 26 dan 27 November 2025 serta 13 hingga 15 Januari 2026.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh tersebut selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh-tarikh yang dibincangkan.

Antara saksi yang disenaraikan ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihak pendakwaan akan mengemukakan 30 saksi bagi perbicaraan kes tersebut.

Peguam bela, Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin pula meminta pihak pendakwaan untuk menyediakan keterangan saksi bagi saksi penting sekurang-kurangnya empat minggu sebelum tarikh perbicaraan dimulakan.

Sementara itu, pihak pembelaan turut memohon mahkamah untuk memulangkan semula pasport Muhyiddin atas alasan perlu menghadiri persidangan di Belgium.

Mahkamah kemudian membenarkan pasport tersebut dikembalikan sementara mulai hari ini sehingga 3 Mac dan menetapkan 14 Mei untuk pengurusan kes.

Muhyiddin, 77, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat serta bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada sebuah yayasan yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Beliau juga didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta daripada yayasan sama yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank milik parti Bersatu di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya dekat sini, pada 7 Januari 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI